FEBRUARI 2024

Eksport Sarawak Ke Brunei Cecah Rm3.59 Billion Tahun Lalu


KUCHING: Nilai dagangan Sarawak dan negara Brunei telah meningkat sebanyak 23.8 peratus atau RM3.76 bilion pada 2023.

Nilai eksport Sarawak ke Brunei pula adalah sebanyak RM3.59 billion yang sebahagian besarnya minyak, barangan plastik dan peralatan mesin.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berikutan itu berkata, Sarawak merancang pembukaan pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei (STATOB).

"STATOB di Brunei dijangka mula beroperasi tahun ini," katanya ketika menerima kunjungan Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan Brunei, Dato Seri Setia Dr Abdul Manaf Metussin di pejabatnya di Wisma Sumber Alam, di sini.

Antara perkara dibincangkan adalah kolaborasi Sarawak dan Brunei dalam bidang seperti pertanian, pelancongan dan perusahaan kecil dan sederhana.

Turut hadir pada pertemuan tersebut adalah Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen.